Dasar 1 Murid 1
Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari
kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan
negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan
berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung
dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan
murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke
arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis
sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak
mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S diwajibkan untuk Tahun
4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan
6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun
3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini
dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna
kepada bangsa dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar ini.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan
dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli
masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan
berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri
semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar
semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran
terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang
menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario
ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap
pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011,
dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam
kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu,
tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada
masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas
sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui dasar ini.
Jika kita singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan
berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di
Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di
peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara
lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan
masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa
rakyat tidak harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah
negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah
melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam
menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk
menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai
kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti
sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah
terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk
perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan
dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan
fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses
kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan
khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada
zaman ini
lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan
kecemerlangan
dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah
membuang masa
mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus kehidupan
mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa untuk melakukan
kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, berenang, menyertai acara
balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang
sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat,
murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea
yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara
implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka.
Pendek kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik
dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan
ini.
Pada masa yang sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan
juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.
Dasar ini memberikan
peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke
tahap
yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut
kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan
dengan
pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan
merupakan salah
satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di
seluruh
dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan
berjuta-juta
ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara
malahan
menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa.
Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann
David, Datuk
Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya
diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan negara ke
persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang digeruni
dapat dicapai menerusi dasar ini.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1
Sukan
banyak membawa kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh
itu, semua
pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk
menyertai semua
aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan
Dasar 1
Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan
Dasar 1
Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang
ditetapkan
akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar
melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa
juga penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan
takkan berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk
melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam
sukan akan
menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah
matahari terus bersinar, biarlah pepohon
terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing
di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.


No comments:
Post a Comment