Seperti
yang ditanyakan oleh saudari di atas : ada yang kat luar pakai tudung
labuh-labuh/besar-besar tapi dalam rumah pakai short pants je.
Ada
jugak yang kita dengar benda macam ni berlaku kan? Percaya tak? Ada je yang kat
luar rumah dah elok dah pakai baju longgar-longgar. Tudung labuh-labuh. Tutup
sana sini tapi kat dalam rumah seksi meksi. Cara berpakaian di luar rumah tu dah
betul dah. Memang bagus dan mengikut syarak wahai muslimah dan muslimin
sekalian. Tapi kita kena ingat. Aurat kita bukan di luar kawasan rumah sahaja.
Tapi dalam rumah pun ada batas-batas aurat juga. Ada batas aurat antara lelaki
dan perempuan. Ada batas aurat lelaki dengan lelaki. Dan ada batas aurat antara
perempuan dengan perempuan. Kita kena ingat tu. Jangan hanya jaga aurat antara
lelaki dan perempuan di luar rumah sahaja ye.
Rujuk
artikel : Baguskah Bila
Tudung Semakin Pelik ?
Aurat
berasal dari perkataan Arab ‘Aurah’ yang bermakna keaiban. Dalam istilah feqah
pula aurat diertikan sebagai bahagian
tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari
pandangan.
Di
dalam Islam terdapat
beberapa keadaan di mana masyarakat Islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya
pada orang-orang yang tertentu. Ingat ye pada keadaan dan orang-orang yang
tertentu je.
PERINTAH
MENUTUP AURAT
Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah
Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud :
“Dan
hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri
seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah
sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada allah dan rasulnya.
Sesungguhnya allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak
menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai “Ahlu Bait”, dan
hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang
keji)”.
Dari
penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah
wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang,berzakat dan
perintah-perintah yang lainnya.
Dengan
menutup aurat, wanita islam mudah dikenal
dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil
kesempatan.
Wanita
yang menutup aurat akan mudah dikenali. Jika sekiranya mereka membuka aurat
dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba
merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara
sumbang,dengan itu juga akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat
tentang diri mereka.
Dalam
hal ini Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud
:
“Wahai
Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan
perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup
seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk
mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu
mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun lagi maha
mengasihani”.
Cuba
kita tengok balik kes jenayah rogol yang sering berlaku. Selalunya wanita-wanita
yang menutup aurat dengan rapi jarang kita dengar di rogol. Mungkin ada. Tapi
jarang. Betul kan? Selalunya wanita yang menutup aurat dengan rapi ni akan
dipandang dengan penuh hormat dan oleh lelaki-lelaki di sekeliling. Orang nak
sentuh pun tak berani. Selalunya lah. Tapi tak semestinya. Mohon jangan salah
faham.
BAHAGIAN
AURAT
Islam
telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita.Aurat asas pada lelaki
adalah menutup antara pusat
hingga ke bawah lutut. Manakala aurat wanitapula
adalah menutup
seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Jadi
bagi kaum Adam, mereka boleh buka mana-mana bahagian sesuka hati mereka asalkan
dari pusat hingga ke bawah lutut tertutup. Faham? Tetapi bagi kaum Hawa, tidak
boleh membuka mana-mana bahagian sesuka hati tetapi hanya muka dan tapak tangan.
Saya ulang. Muka dan tapak tangan. Muka dan tapak tangan. Muka dan tapak tangan.
Dah 3 kali ulang, kalau masih tak faham tu tak tau lah nak cakap macam mana
lagi.
Aurat
lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama
iaitu antara pusat dan lutut. Tetapi bagi
wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya :
1.
Aurat Ketika Sembahyang
Aurat wanita ketika sembahyang adalah
menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
2.
Aurat Ketika Bersama Mahram
Pada asasnya aurat seseorang wanita
dengan mahramnya adalah antara pusat hingga ke bawah lutut. Walau pun begitu
wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh
menaikkan syahwat
lelaki walaupun mahram sendiri.
Perkara
ini dilakukan bagi menjaga adab dan tatsusila wanita terutama dalam menjaga
kehormatan agar perkara-perkara sumbang yang tidak diingini tidak akan
berlaku.
Oleh
itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan dapat menutup syahwat lelaki.
Pakaian yang digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang
lengkap dan labuh.
Syarak
telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita
iaitu :
1.Suami
2.Ayah,termasuk
datuk belah ibu dan bapa
3.Ayah mertua
4.Anak-anak lelaki termasuk cucu
sama ada dari anak lelaki atau perempuan
5.Anak-anak suami
Dalam
perkara ini islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita
tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak
suaminya.
6.
Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa
7. Anak saudara lelaki kerana
mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya
8. Anak saudara dari saudara
perempuan
9. Sesama wanita sama ada kaitan keturunan atau seagama
10.
Hamba sahaya
11. Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat
12.
Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu,
bagi kanak-kanak yang telah mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita
dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.
Al-quran
dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud
:
“Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan
mereka (daripada memandang yang haram), danmemelihara kehormatan
mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan
tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau
anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam,
atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua
dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti
lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk
diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya
kamu berjaya”.
Imam
Syafie berpendapat perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat diatas terbahagi kepada
dua makna iaitu:
1.
Perhiasan yang bersifat semulajadi seperti
muka,pipi,mulut,mata,bibir,hidung,kaki,betis,peha dan lain-lain anggota.
2.
Perhiasan seperti pakaian,alat-alat solek,cincin,rantai leher, gelang
kaki dan sebagainya.
Oleh
itu, umat islam digalakkan mengawal diri agar tidak melanggar batasan-batasan
yang telah digariskan oleh islam terutamanya dalam soal perhiasan dan
berpakaian.
3.Aurat
Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram
Kewajipan
menutup aurat dihadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu
dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku perkara yang tidak
diingini seperti rogol dan sebagainya.
Perkara
ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat
dari penglihatan terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan
mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.
Wanita
yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu
suami, yang mana dosa seorang isteri yang
membuka aurat akan ditanggung oleh suami.
Oleh
itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika
berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang
berbeza-beza.
4.
Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir
Aurat wanita apabila berhadapan
atau bergaul dengan wanita bukan islam adalah
tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Rasulullah
s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Abdullah bin Abbas ada
menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya :
”
Tidak halal kaum wanita islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani”.
5.
Aurat Ketika Bersama Suami
Apabila seorang isteri bersama-sama
dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka islam
telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya.
Ini
bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua.
Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannya bila berhadapan dengan
suaminya.
Mu’awiyah
bin Haidah mengatakan : “Aku pernah bertanya : Ya rasulullah , bagaimanakah
aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?”. Baginda menjawab :”Jagalah
auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu”. Aku bertanya lagi :”
Ya rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu
tempat? ” Baginda menjawab : “Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak
melihat auratmu”. Aku masih bertanya lagi: ” Ya rasulullah, bagaimanakah kalau
orang mandi sendirian?” Baginda menjawab : ” Seharuslah ia lebih malu kepada
Allah daripada malu kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu
Daud)
Okey
jadi segala penerangan di atas sudah cukup isi nya. Cukup maklumat nya. Jadi
bagi menjawab pertanyaan rakan saya yang di nyatakan di awal artikel : salah
seandainya seorang gadis walaupun dia menjaga aurat dengan baik di luar rumah,
tetapi apabila berada di dalam rumah dia memakai short pants. Salah kerana :
aurat perempuan bersama perempuan adalah dari pusat hingga ke bawah lutut. Jadi,
short pants yang anda maksud kan adalah yang berada di atas lutut. Jadinya tak
boleh dan salah.
Andainya
wanita tersebut berada di rumah, bersama ahli keluarga yang terdiri daripada
abang dan ayah. Dan dia hanya menutup dari pusat hingga ke bawah lutut, ianya
tidak salah. Kerana aurat bersama mahramnya adalah dari pusat hingga ke bawah
lutut. Tetapi bagi mengelakkan kejadian yang tak di ingini berlaku seperti kes
‘haruan makan anak’ jadinya wanita disarankan untuk berpakaian sopan walaupun
bersama mahramnya.
Jadinya,
wanita perlu menjaga aurat dengan wanita sebaik mana mereka menjaga aurat mereka
bersama lelaki. Seandainya anda boleh menjaga aurat anda di luar rumah dengan
baik, jadi berusahalah juga untuk menjaga aurat anda di dalam rumah dengan baik.
Saya harap apa yang telah saya rungkaikan ini dapat membantu para Hawa di luar
sana supaya boleh memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Andai ada yang
terkurang mohon ditambahkan. Andai ada yang tersilap, mohon ditegur dan
perbetulkan. Saya manusia biasa. Punyai cela.
Mohon teguran ya? Moga Allah redha. Jazakumullahu khaira kathira! Salam!